Thursday, 26 November 2020

Skim cepat kaya/money game/scam ~ kerana seekor monyet

Skim cepat kaya/money game/scam

KERANA SEEKOR MONYET ๐Ÿ’

Hadami kisah ini. Dalam sebuah kampung, ada banyak monyet liar. Suatu hari datang seorang peniaga. Dia beritahu orang kampung mahu membeli monyet dengan harga RM100 untuk seekor.

Orang kampung fikir peniaga itu gila, mana ada orang sanggup beli seekor monyet dengan harga begitu. Seorang penduduk tangkap seekor monyet dan bawa kepada peniaga itu untuk lihat betul atau tidak kata-katanya. Apabila benar-benar dia mendapat bayaran RM100, maka lepas itu berita tersebut tersebar meluas. Maka, berduyun-duyunlah orang kampung pergi menangkap monyet dan menjualnya kepada peniaga tersebut.

Tak lama kemudian, peniaga itu umumkan bahawa dia akan membeli setiap ekor monyet dengan harga RM200 seekor. Bertambah kecoh jadinya. Penduduk tak senang duduk, asyik memburu monyet. Mereka tersenyum lebar bila dapat bayaran RM200 untuk seekor monyet yang dijual.

Kemudian, peniaga itu umumkan lagi berita mengejutkan. Dia akan beli dengan harga RM500 untuk seekor monyet. Bertambah rambang mata penduduk bila mendengarnya. Jadi macam orang sasau ke sana ke mari mencari monyet. Tapi, ketika itu hanya tinggal beberapa ekor saja monyet. Akhirnya, kesemua monyet telah habis ditangkap dan dijual kepada peniaga itu.

Orang kampung menunggu lagi, apa kejutan yang akan diumumkan peniaga itu. Si peniaga memberitahu, dia akan pulang ke kampung halamannya selama seminggu. Selepas itu, dia akan datang semula ke kampung itu dan akan membeli monyet yang ditangkap penduduk dengan harga RM1,000 seekor! Terkejut beruk penduduk kampung mendengarnya.

Sebelum pergi, peniaga itu berpesan pada seorang pekerjanya yang bertugas menjaga kesemua monyet dalam kurungan yang dibelinya sebelum itu. Lalu, peniaga itu pun pulang ke kampung halamannya...

Penduduk kampung pula separuh gila mencari monyet, tapi seekor pun tiada. Semua telah ditangkap dan dijual kepada peniaga itu.

Dalam kekalutan mereka mencari monyet itu, muncul pekerja peniaga tadi. Pekerja itu beritahu orang kampung, dia boleh jualkan secara rahsia monyet dalam jagaannya kepada mereka dengan harga RM700 seekor. Orang kampung boleh dapat untung RM300 bila menjualnya semula kepada peniaga itu nanti.

Sepantas kilat berita ini tersebar. Ibarat kata orang sekarang, jadi viral. Esoknya, punyalah panjang orang kampung berbaris hendak beli monyet daripada pekerja itu. Yang orang kaya siap beli secara pukal. Yang orang miskin pun tak nak lepaskan peluang, sanggup pinjam sana sini sebab nak beli monyet tu.

Akhirnya, pekerja itu berjaya menjual kesemua monyet dalam kandang itu dengan harga RM700 seekor.

Dengan gembira, penduduk kampung bawa pulang monyet-monyet yang dibeli tadi sambil pasang angan-angan dan kira-kira tentang keuntungan yang bakal mereka terima kelak.

Tapi, dari sehari ke sehari, peniaga yang dinanti tidak kunjung tiba. Mereka cari pula pekerjanya yang menjual monyet itu kepada mereka, pun sudah lesap hilang entah ke mana.

Akhirnya, barulah penduduk kampung sedar mereka sudah terbeli monyet liar yang tidak berguna dengan harga RM700 seekor dan tidak mampu menjualnya kepada sesiapa pun. Maka monyet pun tersengih mentertawakan ‘kecerdikan’ penduduk kampung itu.

๐ŸŒบMoral cerita: Itulah realiti perniagaan yang digelar 'monkey business' yang banyak memperdayakan orang. Ingat, tiada jalan mudah atau jalan pintas untuk mendapatkan wang. Perlu ada usaha, kecekalan, kesabaran, doa dan tawakal kepada Allah.

No comments:

Post a Comment

Ilmu & Amal

Followers