Saturday, 19 September 2020

Hasbunallahu wa ni’mal wakil (Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan DIA adalah sebaik-baik pelindung)



حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

"Hasbunallahu wa ni’mal wakil."

"Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan DIA adalah sebaik-baik pelindung." (surah Ali-Imran: 173)

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Ibrahim diletakkan di atas tunku api, Jibril bertanya kepada baginda – "Apakah engkau memerlukan sesuatu pertolongan dariku?" Nabi Ibrahim lantas menjawab – “Aku tidak memerlukan apa-apa pertolongan darimu. Aku hanya memerlukan pertolongan dari Allah”.

Baginda kemudiannya menyebut kalimah "Hasbunallah wa ni’mal wakil" ketika dicampakkan ke dalam api, dan dengan izin Allah, api itu menjadi dingin dan selamatkan Nabi Allah itu dari dibakar. Subahannallah..

Nabi Muhammad s.a.w. juga diriwayatkan menyebut-nyebut kalimah "Hasbunallah wa ni’mal wakil" ketika di dalam perang Badar, sehingga Allah memberikan kemenangan kepada baginda.

Lihatlah betapa pengasih dan penyayangnya Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang berserah diri dan bertawaqal kepadaNya. Seharusnya, bila kita dalam kesusahan, atau kemurungan, kita kembali pada Allah, berzikir, bersolat sunat, membaca Al-Quran dan bermunajat padanya. Kalimah "Hasbunallah wa ni’mal" wakil elok kita jadikan sebagai amalan, kerana ia mampu menenangkan jiwa dan menyejukkan hati. Ketenangan hakiki hanya boleh diperolehi dengan mendekatkan diri kepada pencipta kita, Allah s.w.t.

Allah memberikan pertolongan dan ketenangan kepada hamba-hambaNya yang mendekatkan diri kepadaNya. Dari sini terlihatlah bahawa Allah itu Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Memberi Pertolongan, Maha Melindungi dan Maha Mengasihi ketika kita sebagai hamba, menyandarkan diri kita kepadaNya. Oleh itu, jika anda mendapat sebarang musibah, masalah, tekanan atau kemurungan, usahlah melakukan perkara-perkara di luar batasan dan meratapi masalah yang menimpa, kerana itu semua tidak dapat mengubat kelukaan hati, ia cuma menambahkan dosa dan kesakitan dalam hati anda.

Serahkanlah segala-galanya kepada Allah, DIA mengetahui apa yang terbaik untuk anda di dunia dan akhirat. Ubatilah jiwa anda dengan mengucapkan kalimah "Hasbunallah wa ni’mal wakil" berkali-kali hingga anda rasa tenang dan lapang. Allah sentiasa bersama-sama orang yang mengingatiNya. Marilah kita sama-sama mengamalkan kalimah ini setiap waktu dan setiap ketika, tidak kira waktu susah atau senang, moga rahmat dan keredhaan Allah sentiasa bersama-sama kita di dunia dan Akhirat. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment

Ilmu & Amal

Followers