Wednesday, 6 November 2019

Kehebatan istighfar




Kehebatan Istighfar

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sehingga aku berkata (kepada mereka); Pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, Dan Dia akan memberikan kamu harta yang banyak berserta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh, ayat 10-12)

Firman Allah itu pasti membuatkan kita bertambah bersemangat untuk selalu memohon keampunan Allah. Kayanya Allah, Dia bukan sahaja menjanjikan keampunan-Nya, bahkan menjanjikan kekayaan daripada limpah kurnia-Nya yang luas.

Kita semua pasti pernah mengalami hari yang sukar. Kereta rosak, anak sakit, tiada air berhari-hari, dibebani hutang, pasangan merajuk, kerja tidak siap dan pelbagai lagi cabaran hidup.

Pada saat itu, emosi pasti terganggu bagaikan mengalami cuaca panas terik. Allah mengajar kita, penyejuknya adalah dengan beristighfar.

Allah sengaja mendatangkan pelbagai masalah untuk melihat sejauh mana kita menyelesaikannya. Adakah kita menjadi seorang merintih masalah atau berusaha mencari jalan penyelesaian?

Para ulama yang dekat dengan cara fikir al-Quran dan al-Sunnah cukup memahami hakikat kehidupan ini. Ibnu Kathir berpesan, “Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan amalan ini iaitu memperbanyak istighfar, maka Allah akan:

• Memudahkan rezekinya

• Memudahkan urusannya

• Menjaga kekuatan jiwanya

Ibnu Qayyim pula berkata: “Apabila engkau berdoa, sementara waktu yang dimiliki begitu sempit, padahal dadamu dipenuhi dengan begitu banyak keinginan, maka jadikanlah seluruh isi doamu istighfar, agar Allah mengampunkan kamu. Apabila engkau diampuni, maka semua keperluanmu akan dipenuhi oleh-Nya tanpa engkau memintanya.”

Lazimnya lafaz istighfar itu diungkapkan sebagai zikir untuk memohon keampunan kepada Allah. Ia juga dilafazkan selepas kita tersedar daripada melakukan dosa.

Harapan kita tentu sekali supaya dosa kita dihapuskan. Namun, manfaat istighfar lebih jauh daripada itu.

Kalimat zikir sering diucapkan Nabi SAW memiliki banyak keutamaan lain jika diamalkan. Ada beberapa kisah menceritakan bagaimana ajaib amalan istighfar dalam kehidupan.

Seorang pakar bedah kardiotorasik terkenal dari Mesir, Dr Khalid Abdul Aziz Al-Jubair menulis sebuah buku bertajuk Kesaksian Seorang Doktor iaitu versi terjemahan.

Beliau menceritakan masalah yang dialami dan bagaimana Allah menyelamatkannya dengan keberkatan istighfar.

Dr Khalid Al-Jubair mendapat fitnah daripada beberapa rakan sekerjanya. Fitnah itu cukup berat dan jika dapat dibuktikan, jawatannya akan terancam.

Seterusnya beliau akan dipencenkan dan tidak dibenarkan lagi berkhidmat untuk merawat pesakit. Komplot fitnah itu dilakukan dengan cukup teliti. Mereka semuanya berpakat untuk menjadi saksi dan menciptakan bukti kukuh. Dr Khalid berasa dia tidak berupaya melawan fitnah itu dan mulai murung.

Dia hanya mampu mencari Allah. Seterusnya, keajaiban berlaku pada saat-saat akhir. Allah mendatangkan ilham pada saat dia di masjid untuk menunaikan solat fardu.

“Selama ini orang datang kepadaku dengan harapan yang besar agar aku mengubati mereka. Kini aku juga mempunyai harapan yang besar. Seharusnya aku datang kepada-Nya dan meminta pertolongan daripada-Nya,” kata beliau sendirian.

Kemudian beliau teringat kelebihan istighfar. Beliau segera melafazkan kalimah zikir itu sebanyak mungkin. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dan juga ke hospital beliau tidak henti-henti melafazkan kalimat berkenaan.

Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul-qayyum, wa atubu ilaih, bermaksud, “Aku memohon ampun kepada Allah, Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengurus, dan aku bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Hakim dari Ibnu Mas’ud dan At-Tirmidzi dari Bilal bin Yasar bin Zaid)

Selepas itu, ada perasaan hebat menyelubungi jiwanya. Beliau seakan-akan mengalami sentuhan spiritual sehingga perasaan resah dan berserabut kerana fitnah itu terus hilang.

Tidak lama selepas itu, semua tuduhan dikenakan ke atas beliau digugurkan kerana tidak dapat dibuktikan. Namanya dibersihkan dan beliau bebas untuk berkhidmat seperti biasa.

Rakan-rakannya yang melakukan komplot fitnah pula turut menerima hukuman. Sebahagian daripada mereka ditamatkan perkhidmatan, ada juga yang dilucutkan jawatan dan ada yang dipindahkan ke bahagian lain. Sebahagian yang lain pula datang kepadanya dan memohon maaf.

Ibnu Qayyim pula mengisahkan; “Aku sering menyaksikan guruku, Syaikhul Islam (Ibnu Taimiyah) ketika menghadapi masalah-masalah berat, beliau segera bertaubat kepada Allah, memperbanyakkan istighfar, bersandar kepada-Nya dan mengharap turunnya kebenaran dari-Nya.

Biasanya tidak lama selepas itu, bantuan daripada Allah pun turun mencurah-curah sehingga beliau boleh memilih mana-mana sahaja jalan penyelesaian yang beliau mahu.

Ibnu Taimiyah sendiri berkata, “Saat ada masalah yang amat pelik dan rumit, yang membuatkan aku berasa buntu, maka aku akan beristighfar kepada Allah sebanyak 1000 kali atau lebih kurang, sampai Allah bukakan dan pecahkan masalah masalah untukku.”

Ada sebuah mutiara kisah yang cukup manis untuk diamalkan. Kisah itu dipetik daripada kitab Tafsir al-Maraghi, hasil tulisan ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi.

Kisah iktibar itu mengenai tabi’in bernama Hasan al-Basri. Beliau sering didatangi segenap lapisan masyarakat bertanyakan hukum agama dan meminta nasihat.

Satu hari, seorang lelaki datang mengadu kepadanya kerana masalah kelaparan. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Kemudian beliau didatangi seorang mengadu masalah ketiadaan zuriat. Beliau menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang seorang lelaki mengadu kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Jawapan Hasan al-Basri menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”

Hasan al-Basri menjawab, “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”

Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Kesimpulannya, apa sahaja masalah yang datang, ‘halau’ ia dengan istighfar. Insya-Allah, dengan membawa hati kembali kepada Ilahi, masalah akan pergi.

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua.

Astaghfirullah 😥


No comments:

Post a Comment

Ilmu & Amal

Followers